Pemansuhan Bayaran Wad Hospital

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 2010

1. Kerajaan telah memutuskan bahawa bayaran wad yang dikenakan kepada pegawai dan pesara Perkhidmatan Awam, ahli keluarga dan ibu bapa yang sah semasa mendapat rawatan di hospital Kerajaan dimansuhkan.

2. Pemansuhan bayaran wad ini tidak mejejaskan kelayakan wad yang ditetapkan kepada pegawai. Kelayakan wad adalah berdasarkan gred pegawai seperti yang ditunjukkan dalam jadual dibawah, tertakluk kepada fasiliti yang disediakan oleh pihak hospital.

2.1 Pengurusan Tertinggi / Gred 45 - 54 - Kelas 1 Bilik Seorang
2.2 Gred 31 - 44 - Kelas 1 Bilik Berdua
2.3 Gred 21 - 30 - Kelas 1 Bilik Bertiga
2.4 Gred 1 - 20 - Kelas 2

3. Kelayakan wad untuk ahli keluarga dan ibu bapa yang sah adalah berdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai.

4. Kelayakan wad untuk pesara dan ahli keluarga adalah berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.

5. Jika pegawai atau pesara Perkhidmatan Awam atau ahli keluarga atau ibu bapa yang sah meminta untuk dimasukkan ke dalam wad yang lebih tinggi dari kelayakannya, maka pegawai atau pesara berkenaan akan dikehendaki membayar bayaran wad mengikut yang dikenakan kepada awam. Pegawai dan pesara juga dikehendaki membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad yang lebih tinggi mengikut kadar yang ditetapkan.

6. Dengan berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, perenggan C2 berkaitan kelayakan dan kadar bayaran wad di Lampiran C8, Pekeliling Perkhidmatan Bil 4 Tahun 2002, perenggan 11 berkaitan kadar bayaran wad sehari di Lampiran O, Pekeliling Perkhidmatan Bil 10 Tahun 1991 dan Bahagian J berkaitan permohonan perbelanjaan bagi rawatan di luar negeri di Lampiran B, Pekeliling Perkhidmatan Bil 21 Tahun 2009 adalah dibatalkan.

7. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 01 April 2010.